PKNS in Media

News and updates about PKNS

Sampai Bila Hendak Dibiarkan…

Tarikh    : 24 Februari 2010
Sumber : Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 23 Feb. – Flat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Jalan Kuching di sini tentunya meninggalkan pelbagai kenangan kepada anggota tentera yang pernah menghuni unit rumah di situ. Ini kerana flat empat tingkat satu bilik itu menjadi tempat berteduh bagi kira-kira 400 keluarga itu sebelum mereka berpindah ke Kem Wardieburn di Setapak pada awal tahun lalu. Sejak dipindahkan ke rumah baru, kehidupan keluarga anggota tentera itu kini jauh lebih selesa berbanding dahulu. Namun, lain pula ceritanya bagi penghuni yang juga pemilik lima lagi blok di kawasan yang sama. Mereka mendakwa hidup dalam kebimbangan kerana tiada sebarang tindakan dilakukan oleh pihak yang bertanggungjawab terhadap flat yang dikosongkan oleh anggota tentera itu. Keadaan flat yang terbiar itu menimbulkan tanda tanya kepada mereka sama ada pihak berkuasa sudah mempunyai perancangan terhadap flat tersebut atau ia akan dibiarkan begitu sahaja. Mereka mendakwa akibat tiada sebarang tindakan dilakukan terhadap 10 blok yang kosong itu, pelbagai kejadian melibatkan masalah sosial dan jenayah mula berlaku.

Difahamkan, kawasan perumahan yang dibina sejak lebih 20 tahun lalu itu mempunyai 602 unit rumah dengan 380 unit rumah dimiliki oleh Kementerian Pertahanan tetapi sudah dikosongkan. Akibat dibiarkan kosong, rumah-rumah pangsa berkenaan mula menjadi sarang penagih dadah sehingga menyebabkan pelbagai kegiatan jenayah berlaku seperti kecurian, vandalisme, pecah rumah dan juga maksiat. Utusan Malaysia yang meninjau ke lokasi berkenaan mendapati keadaan persekitaran flat berkenaan sangat kotor dan unit-unit yang kosong itu kelihatan usang, sedangkan masih terdapat beberapa blok yang berpenghuni. Memandangkan kedudukan lima blok yang berpenghuni itu terletak di celah-celah flat kosong tersebut, ia mengundang suasana suram di kawasan itu. Apa yang membezakan ialah di halaman flat berpenghuni terdapat beberapa buah kenderaan sementara flat yang kosong dipenuhi dengan sampah yang menyakitkan mata memandangkan. Ketika tinjauan dilakukan, beberapa unit rumah yang kosong dikesan seolah-olah dihuni tetamu tidak diundang yang menjadikannya sebagai rumah mereka. Selain terdapat pakaian, terdapat juga kelengkapan peralatan mandi. Turut kelihatan air meleleh keluar dari paip yang sudah rosak kepalanya. Antara yang paling terjejas dengan keadaan itu ialah pengusaha kedai yang terletak di bangunan flat kosong. Mereka kini kehilangan pelanggan. Memandangkan kawasan itu gelap dan sunyi pada waktu malam, peniaga terpaksa menutup perniagaan mereka sebelum pukul 7 malam berbanding 11 malam sebelum ini kerana bimbang didatangi penjenayah. Difahamkan, pada September tahun lalu, Ahli Parlimen Segambut, Lip Lim Eng berjanji akan membawa masalah itu ke pengetahuan pihak berkuasa bagi mendapatkan penjelasan mengenai status flat berkenaan, namun sehingga ke hari ini tiada sebarang maklum balas diterima. Difahamkan juga, flat berkenaan bukan lagi di bawah tanggungjawab Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) selaku pemaju projek perumahan kerana 380 unit rumah pangsa tersebut telah dijual kepada Kementerian Pertahanan. Sebaliknya, PKNS hanya bertanggungjawab terhadap kira-kira 200 unit rumah pangsa yang dijual kepada orang awam sahaja. Jika benar pihak Kementerian Pertahanan sedang merancang membangun dan membaik pulih flat tersebut, ia adalah sesuatu yang pasti dinanti-nantikan. Penduduk berkata, jika semua anggota tentera sudah mempunyai kuarters masing-masing, flat itu boleh disewakan kepada golongan miskin, ibu tunggal atau pun golongan bujang yang baru bekerja di ibu kota. “Segala-galanya bergantung kepada pihak bertanggungjawab, asalkan unit-unit kosong itu diisi dan kawasan ini kembali meriah,” kata mereka. Kata mereka, lokasinya yang strategik selain pelbagai kemudahan yang ditawarkan, pasti menjadikan ia rebutan orang ramai. Antara kemudahan yang sedia ada ialah kedai runcit, kedai menjual peralatan telekomunikasi, ejen insurans dan juga pejabat pos mini. Apa yang diharapkan penduduk ialah ia dibaik pulih supaya dapat mengembalikan semula suasana meriah di situ yang sudah hilang sejak lebih setahun lalu.

Filed under: Akhbar Utusan Malaysia

PKNS Berhak Tutup Jalan

Tarikh    : 24 Februari 2010
Sumber : Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 23 Feb. – Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berhak menutup laluan keluar masuk ke dua blok kediaman yang sudah dikosongkan di Taman Keramat di sini. Ini kerana premis yang terlibat merupakan hak perbadanan itu walaupun tidak menafikan yang tindakan penutupan jalan itu menyebabkan kesesakan di kawasan berkenaan. Bagaimanapun, Pengurus Perhubungan Awam PKNS, Mohd. Wazir Abdul Gani berkata, kesesakan itu sebenarnya berpunca daripada tindakan pengguna transit aliran ringan (LRT) yang meletakkan kenderaan mereka di bahu jalan di situ. Menurutnya, pengguna terbabit tidak mahu membayar caj letak kenderaan jika diletakkan di kawasan yang disediakan dan tindakan mereka ternyata menyusahkan penduduk. “Namun, kita sudah memaklumkan kepada pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengenai kesesakan akibat kenderaan yang diletakkan di bahu jalan itu. “Kita juga sudah membuka satu lorong untuk kenderaan keluar masuk iaitu dari Jalan Enggang untuk memudahkan orang ramai berurusan di klinik berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. Minggu lalu, Utusan Malaysia menyiarkan keluhan penduduk Taman Keramat mengenai kesesakan di kawasan perumahan mereka yang berpunca daripada penutupan beberapa jalan keluar masuk ke situ. Penutupan itu menyebabkan penduduk berang kerana mereka terpaksa berdepan dengan kesesakan setiap hari bermula dari hadapan rumah mereka lagi. Mohd. Wazir berkata, tinjauan yang dibuat oleh PKNS baru-baru ini mendapati, tiada lagi rungutan daripada penduduk selepas satu lagi jalan dibuka di kawasan berkenaan.

Filed under: Akhbar Utusan Malaysia

Felda United, S’gor PKNS, Harimau Muda: Keep Up Form

Date      : 13 February 2010
Source : Bernama

Felda United, Selangor PKNS, Harimau Muda  : Keep up form

KUALA LUMPUR Feb 12 — Felda United, Selangor PKNS and Harimau Muda kept up their form to remain as the top three teams in the Premier League after knocking out their respective opponents tonight.

At the Kuala Lumpur Football Stadium in Cheras here, Felda United maintained their top position after a narrow 2-1 victory over Police.

Amir Shahreen Abdul Mubin (21st) and Abdul Ghani Abdul Rahman (61st) were Felda United”s heroes while Police”s goal was scored by Mohd Fauzi Abdul Majid (80th).

At the Petaling Jaya in Kelana Jaya, Selangor PKNS whipped Pos Malaysia 3-0 to collect three points.

Mohammad Khairul Akhyar Husain started the ball rolling with PKNS” first goal in the 5th minute followed by Mohd Fitri Omar (35th) and Mohd Fadhil Mohd Hashim (80th).

Though both Felda United and PKNS had 16 points a piece after tonight”s matches, Felda United had superior goal difference to stay at the top.

At the Hang Jebat Stadium in Melaka, Harimau Muda defeated Melaka 3-1 to take up third spot with their goals supplied by Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria (4th), A. Tamil Arasu (8th, 22nd) while Melaka”s consolation goal was provided by Mohd Zaidi Zubir (87th).

Filed under: Bernama

Mahu Pampasan Lebih Besar

Tarikh     : 16 Februari 2010

Sumber  : Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 16  Feb. – Mengangkat sebuah kawasan perumahan kos rendah yang penuh dengan imej negatif menjadi sebuah bandar kosmopolitan pasti menjadi impian setiap penduduk sedia ada.

Tambahan pula apabila mengetahui kawasan kediaman mereka itu akan didirikan dengan empat bangunan moden setinggi 45 tingkat yang menempatkan kediaman, bangunan pejabat, pusat beli-belah dan hotel.

Hebat dan mengagumkan. Projek mega yang diilhamkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan dinamakan Datum Jelatek akan lahir di atas tapak flat kos rendah di Jalan Jelatek.

Projek dengan kos RM1.2 bilion itu bakal menjadi kenyataan dalam masa dua tahun selepas semua proses awal termasuk soal pampasan kepada penduduk terlibat diselesaikan.

Persoalannya ialah penduduk sedia ada yang mendiami kawasan itu menyifatkan tawaran pampasan sebagai tidak setara dengan harga tanah yang dimiliki sekarang dan bentuk projek yang bakal dibangunkan.

Terdapat dua blok kediaman di situ yang masih dihuni 650 keluarga manakala dua lagi yang sebelum ini dijadikan kuarters anggota tentera sudah dikosongkan.

Menurut penduduk, setiap pemilik kediaman di situ bakal menerima sejumlah RM250,000 manakala tuan punya kedai di tingkat bawah flat itu ditawarkan pampasan sebanyak RM450,000.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, rata-rata penduduk tidak berpuas hati dengan tawaran yang diberikan di atas beberapa faktor.

Antaranya ialah kawasan itu merupakan kawasan pembangunan di ibu kota, berjiran dengan pusat bandar raya dan berhampiran dengan kemudahan awam yang utama.

Kata penduduk, walaupun perbincangan sedang berjalan, PKNS dilihat mula memberikan tekanan untuk ‘menghalau’ penduduk dengan menutup beberapa jalan keluar masuk di kawasan itu.

Seorang pemilik kedai makan di tingkat bawah flat berkenaan, Salim Alwi, 58, berkata, pegawai PKNS sudah dua kali datang ke kedainya untuk ‘memujuk’ dia supaya menerima jumlah pampasan yang ditawarkan.

Namun, katanya, harga itu dirasakan terlalu rendah berbanding bentuk pembinaan yang bakal didirikan, selain lokasinya yang terletak bersebelahan dengan bandar raya Kuala Lumpur.

“Kita sebenarnya tidak kisah jika ada pembangunan di sini, namun pertimbangkan pampasan yang hendak diberi dengan sewajarnya. Jika terlalu rendah, ia pasti membebankan kita kelak.

“Ini adalah perniagaan keluarga yang sudah dimulakan sejak 1976. Tawaran yang diberi terlalu rendah dan kita sudah mendapatkan bantuan guaman untuk hal ini,” ujarnya.

Katanya lagi, surat notis juga sudah tiga kali dikeluarkan oleh PKNS supaya berpindah selain satu pertemuan pernah dibuat bersama penduduk di sebuah hotel berhampiran mengenai isu yang sama.

Bagaimanapun, katanya, rata-rata pemilik masih tidak berpuas hati dengan tawaran yang diberikan walaupun tidak menolak pembangunan di kawasan Jelatek.

“Kita mahu pembangunan di sini namun pertimbangkan sama nasib pemilik di sini. Jangan pinggirkan kami sebagai pemilik sah di sini,” tegasnya.

Beliau menambah, pemilik premis perniagaan di situ boleh bersetuju dengan pampasan sebanyak RM450,000 itu jika mereka turut diberikan satu unit ruang niaga baru apabila projek itu siap kelak.

Sementara itu, seorang penyewa rumah di flat itu, Najib Mohd., 31, memberitahu, dia ditawarkan untuk berpindah ke pangsapuri Permai Jaya yang terletak di kawasan Ampang.

Katanya, rumah ‘ganti’ itu turut ditawarkan untuk dijual dengan harga RM35,000 dengan syarat dia perlu berpindah sebelum bulan Mei depan.

“Saya diminta untuk memberi deposit sebanyak RM500 untuk berpindah sebelum Mei ini.

“Pegawai PKNS memberi notis secara serahan tangan namun kami belum membuat sebarang keputusan untuk berpindah kerana rumah baru itu jauh daripada tempat kerja,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk yang hanya mahu dikenali dengan nama Salleh berkata, dasar PKNS yang sepatutnya membantu orang Melayu tidak dipraktikkan dalam kes pembangunan di Jelatek.

Katanya, pembinaan kondominium mewah yang mungkin menjadi kebanggaan agensi kerajaan negeri Selangor itu tidak akan bererti jika kebajikan penduduk sedia ada tidak terbela.

Jelasnya lagi, PKNS seharusnya mempertimbangkan pampasan yang lebih tinggi.

“Kita ditawarkan RM250,000 untuk pampasan rumah di tempat paling strategik di ibu kota. Bayangkan harga ini untuk membeli rumah lain di Kuala Lumpur.

“Rasanya tidak dapat dengan harga ini kecuali mencari kediaman jauh di luar Kuala Lumpur,” ujarnya.

Katanya, walaupun PKNS mahu membangunkan projek mewah di kawasan itu tetapi agensi itu tidak seharusnya meminggirkan penduduk sedia ada kerana ia hanya akan dilihat sebagai usaha ‘melenyapkan’ sebuah kawasan Melayu di ibu kota.

Apa pun, katanya, lambat-laun penduduk akan terpaksa juga keluar dari rumah mereka itu walaupun berat untuk melakukannya.

“Jika pampasan yang diberikan masih rendah seperti sekarang, kami tentu tidak mampu untuk terus tinggal di sini, malah untuk memiliki kediaman di ibu kota hanya tinggal impian sahaja,” jelasnya.

Filed under: Akhbar Utusan Malaysia

Kenapa Tutup Jalan Kami?

Tarikh    : 11 Februari 2010
Sumber : Utusan Malaysia

Laluan keluar masuk merupakan antara keperluan utama bagi setiap kawasan perumahan terutama di pangsapuri atau flat yang mempunyai kepadatan penduduk.

Tanpa jalan keluar masuk yang mudah, keselesaan penduduk di kawasan terbabit akan terjejas dan boleh menimbulkan rasa marah mereka.

Lebih menimbulkan kemarahan jika setiap hari, sewaktu hendak keluar ke tempat kerja, mereka sudah tersekat di hadapan rumah sendiri.

Inilah yang berlaku kepada penduduk di dua blok kediaman milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Taman Keramat berhampiran transit aliran ringan (LRT) Jelatek di sini.

Tiga jalan masuk ke kediaman mereka ‘ditutup’ dan kini hanya tinggal satu jalan sahaja untuk masuk ke kawasan itu dan hanya satu laluan keluar dari sana.

Lebih mengejutkan ialah apabila Utusan Malaysia diberitahu yang penduduk di kawasan itu tidak langsung dimaklumkan tentang jalan itu yang akan dikorek dan secara automatik, laluan itu ditutup.

Ditutup bermakna tiada lagi kenderaan boleh melalui jalan itu sekali gus menyusahkan penduduk di dua blok milik PKNS selain pelanggan ke bazar yang dimiliki pemaju yang sama.

Masalah itu juga menimbulkan kesukaran kepada orang ramai untuk ke Klinik Kesihatan Jelatek yang terdapat di dalam kawasan sama.

Difahamkan, jalan masuk itu dikorek untuk memudahkan pemaju melaksanakan kerja-kerja meruntuhkan dua buah blok yang sudah dikosongkan.

Isu itu menyusahkan penduduk setempat untuk ke bazar PKNS dan ia turut menjadi faktor utama pendapatan peniaga di situ terjejas.

Seorang penduduk, Rathuan Zaini, 48, menjelaskan, isu penutupan jalan masuk yang dihadapi penduduk di situ amat menyusahkan.

Katanya, jalan yang dikorek itu menyebabkan kesesakan pada waktu pagi terutama orang ramai yang hendak ke klinik berhampiran.

“Sudahlah jalan ini dikorek tanpa sebarang notis, kini kita hanya ada satu jalan masuk dan keluar.

“Ia menyusahkan penduduk di sini. Paling kasihan orang ramai yang hendak mendapatkan rawatan pada waktu pagi di klinik berhampiran,” ujarnya.

Tambahnya, selain kesesakan, beberapa kemalangan kecil yang kebanyakannya pergeseran antara kereta turut dilaporkan berlaku sejak kebelakangan ini.

“Ada pemandu yang mengambil jalan pintas dan tidak menghiraukan jalan sehala. Akibatnya kereta yang keluar bergesel dengan yang masuk menggunakan laluan sehala.

“Kita mahu tahu apa puncanya jalan ini ditutup tiba-tiba tanpa sebarang perbincangan. Kini peniaga di bazar PKNS turut menerima tempias kekurangan pendapatan harian akibat penutupan jalan ini,” jelasnya.

Seorang lagi penduduk, Nasaruddin Abd. Wahid, 43, berkata, pemaju tidak pernah memberi sebarang notis sebelum menutup jalan berkenaan dan tindakan itu menimbulkan kemarahan penduduk.

Katanya lagi, baki penduduk di dua blok juga difahamkan sudah ditawarkan pampasan untuk berpindah, namun ia masih dalam proses perbincangan.

“Persoalannya ialah mengapa menutup jalan ini seolah-olah sudah tiada siapa lagi tinggal di sini? Apa rasionalnya menutup jalan dan menyusahkan orang ramai yang hendak ke klinik, bazar, rumah serta LRT berhampiran.

“Kita mahu penjelasan PKNS, kenapa ia ditutup tanpa notis dan kini apa yang terjadi benar-benar menyusahkan semua pihak. Apakah tujuan mereka melakukan tindakan ini,” soalnya.

Tambahnya, pihak PKNS diminta menunjukkan bukti bertulis jika benar penutupan jalan itu sudah mendapat persetujuan semua penduduk.

Katanya, sepanjang pengetahuannya, tidak pernah PKNS memaklumkan tentang penutupan jalan tersebut, malah ia tidak wajar dilakukan kerana kawasan itu masih berpenghuni.

Dalam pada itu, seorang peniaga, Faridah Mat, 45, berkata, dia sendiri terkejut apabila melihat laluan masuk berhampiran kedainya dikorek baru-baru ini.

Katanya, jalan itu yang biasanya sesak pada waktu pagi kini bertambah sesak kerana hanya satu laluan untuk orang ramai ke klinik dan meletak kereta di LRT berhampiran.

“Itu tidak termasuk kesesakan daripada penduduk yang hendak keluar ke tempat kerja pada pagi hari. Ia menyusahkan dan pemaju tidak pernah memberi notis untuk menutup jalan tersebut.

“Sebelum ini ada empat jalan keluar dan kini ada satu sahaja. Bayangkan kesusahan yang terpaksa dihadapi orang ramai di sini setiap pagi,’’ ujarnya.

Jelasnya lagi, apa yang paling menyedihkan ialah rungutan yang diterima daripada peniaga bazar PKNS yang mencari rezeki di situ sejak bertahun lamanya.

“Kasihan kepada mereka kerana jalan masuk dan keluar kini hanya ada satu. Ia sekali gus menyusahkan semua yang hendak membeli barangan harian di sini.

“Akibatnya, ada pelanggan yang biasa ke sini akan mencari kedai di kawasan lain kerana kesukaran untuk masuk ke sini dan mencari tempat meletak kenderaan,’’ katanya.

Filed under: Akhbar Utusan Malaysia

SELANGOR Tunggu PKNS

Tarikh     : 8 Februari 2010
Sumber  : Akhbar Kosmo!

Filed under: Akhbar Kosmo

Bukit Botak – Settlers Open To New Option

Filed under: News Straits Times

SACC MALL Tingkatkan Pembabitan Bumiputera Berdaya Saing

Tarikh    : 13 Januari 2010
Sumber :  Berita Harian

Filed under: Akhbar Berita Harian, Uncategorized

Winner of the 2009 International Business Review Award for Excellence in Government Delivery Services – Property and Infrastructure Development

Source : International Business Review 2009

Filed under: International Magazine, Uncategorized

Kediaman milik PKNS raih permintaan tinggi

Tarikh   : 2 Januari 2010
Sumber : Utusan Malaysia


Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yakin projek perumahan yang dibangunkannya di negeri Selangor sepanjang tahun ini dan pada tahun depan laris dan masih mampu dibeli walaupun proses pemulihan ekonomi perlahan.

Malah, PKNS tetap optimis bahawa kediaman mewah yang dijual pada harga RM1.2 juta sebuah turut mendapat sambutan daripada pelanggan terutamanya golongan Bumiputera.

Pengurus Bahagian Jualan Hartanah Wilayah Utara Jabatan Kemajuan Shah Alam PKNS, Lokman Abdul Kadir berkata, para pembeli masih menaruh keyakinan terhadap projek-projek hartanah yang dibangunkan oleh PKNS.

Katanya, salah satu faktor yang merangsangkan penjualan hartanah milik PKNS adalah konsep bina dan jual yang dijalankan PKNS yang begitu ‘mencuri’ perhatian pembeli.

Menurutnya, pihaknya juga memahami trend pembeli pada waktu ini yang mahu segera memasuki kediaman selain mahu mengelak risiko projek terbengkalai.

“Setakat ini, projek di bawah PKNS tidak ada yang terbengkalai dan kami masih mengekalkan rekod baik tersebut.

“Kami dapati orang ramai yakin dengan konsep bina dan jual ini dan ia amat membantu jualan hartanah milik PKNS,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui pada pelancaran jualan kediaman teres tiga tingkat Puncak Tropika di sini baru-baru ini.

Kediaman Puncak Tropika dibina dalam unit terhad iaitu sebanyak 28 buah dan terletak di Seksyen 9 di sini.

Ia dijual pada harga serendah RM1.2 juta hingga RM1.5 juta sebuah.

Kediaman di Puncak Tropika mempunyai keluasan 3,680 kaki persegi untuk jenis A manakala 4,170 kaki persegi (jenis B) dan 3,170 kaki persegi untuk jenis C.

Pasaran sasaran bagi kediaman tersebut yang dibina sejak dua tahun lalu adalah untuk golongan berpendapatan tinggi.

Sementara itu, Lokman menambah, satu lagi tarikan projek PKNS adalah harga jualan yang ditawarkan PKNS masih di bawah paras harga pasaran semasa.

Katanya, kadar harga yang ditentukan amat berpatutan selain lokasi yang dipilih amat strategik dengan memikirkan kemudahan infrastruktur yang lengkap.

Ketika ditanya mengenai projek yang dijalankan PKNS sepanjang tahun ini, Lokman berkata, PKNS menjual rumah teres dua tingkat yang dinamakan Idaman Suraya (RM485,000 ke atas) di Seksyen 6 di sini pada April tahun lalu.

Pada Julai lalu pula, PKNS melancarkan jualan projek Citra Seni di Seksyen 7 di sini dengan harga jualan RM890,000 ke atas.

Bermula bulan ini, PKNS melancarkan jualan projek kediaman Ayuqaseh di Alam Nusantara, Setia Alam di sini dengan harga jualan serendah RM335,000.

Ketika ditanya sama ada PKNS akan menjual kouta Bumiputera kepada bukan Bumiputera sekiranya jualan perlahan, Lokman berkata, PKNS tidak akan berbuat demikian berikutan permintaan di kalangan pembeli Bumiputera tetap tinggi.

Cuma, katanya, kouta kediaman sebanyak 30 peratus yang diperuntukkan kepada bukan Bumiputera habis dijual dalam tempoh sejam berbanding 60 peratus kouta untuk Bumiputera.

“Setakat ini, kami masih mempertahankan kouta tersebut dan yakin ia dapat dijual sepenuhnya,” ujarnya.

Filed under: Akhbar Utusan Malaysia, Uncategorized

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.